DULU STRES, KINI BAHAGIA : Bagaimana Seorang Ayah Mengawal Baran Dengan Kerenah Anak Autistik

DULU STRES, KINI BAHAGIA : Bagaimana Seorang Ayah Mengawal Baran Dengan Kerenah Anak Autistik

Seperti orang lain, saya juga ada keinginan dan keutamaan di dalam hidup. Antaranya seperti ketenangan dalam beribadat, perniagaan yang menguntungkan, kebahagian rumahtangga serta zuriat yang ramai dan bermacam-macam lagi. Namun begitu, di antara semua keutamaan tersebut, saya meletakkan kepentingan anak istimewa saya yang didiagnoskan sebagai anak autistik yang kini berusia tujuh (7) tahun adalah paling utama.

Pelbagai cabaran saya lalui sepanjang membesarkan anak istimewa ini antaranya seperti melihatnya meraung di tempat awam apabila sesuatu yang dihajati tidak beliau perolehi, bunyi jeritan atau tangisannya di kala lewat malam yang dikhuatiri mengganggu jiran, terpaksa menahan malu apabila kelakuanya mungkin merimaskan orang lain, kadang-kala menahan kesakitan apabila dipukulnya dan teringat suatu ketika semasa menjalankan “toilet train” terpaksa menghidu najisnya apabila dia tidak sempat ke tandas. Saya menganggap ini adalah dugaan daripada Allah S.W.T di dalam menguji keimanan sebenar saya terhadap qada’ dan qadarNya. Justeru itu, dengan berpandukan terjemahan surah Al Insyirah dan hadith Rasulullah SAW, saya yakin dan percaya serta berharap Allah SWT akan membuka seluas-seluasnya kelapangan dan jalan keluar kepada kesukaran saya ini.

Syukur Alhamdulillah seorang sahabat telah memperkenalkan NLP kepada saya pada Disember 2014 dan betapa bertuahnya saya kerana terus diberi peluang oleh Allah SWT untuk mempelajari NLP di bawah anjuran NLP Malaysia Centre pada Mac 2015. Pada awalnya tujuan mendalami ilmu NLP hanyalah untuk mengembangkan perniagaan saya semata-mata. Namun, saya ternyata silap kerana ilmu NLP ini sebenarnya merangkumi suatu skop kehidupan yang lebih luas.

Secara peribadi, setelah selesai menghadiri seminar tersebut apa yang mengejutkan saya adalah bagaimana saya mula mengenali diri sendiri. Ini kerana apa yang paling ketara, saya mulai mengenal pasti bagaimana sistem kepercayaan, mengenal pasti dan mengubah emosi, bagaimana cara atau gaya saya berfikir yang mana akhirnya mendorong kepada tingkah laku dan tindakan saya selama ini sama ada ianya positif atau pun negatif.

Saya mendapat idea dan terfikir untuk mengaplikasikan NLP terhadapnya. Namun begitu setelah mendapat beberapa input daripada rakan-rakan NLPer yang lain, saya membuat kesimpulan bahawa saya seharusnya mengaplikasikan konsep atau teknik di dalam NLP itu terhadap diri saya sendiri terlebih dahulu. Salah satu konsep yang saya telah saya praktikkan adalah “reframing”.

Apa itu teknik Reframing?

Reframing adalah suatu konsep di mana apabila berlakunya satu kejadian atau situasi yang tidak menyenangkan (negatif), ia sebenarnya terdapat nilai yang baik (positif) dengan cara mengubah fokus di dalam situasi tersebut. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada kita apabila berlaku sesuatu kejadian yang tidak selari dengan keinginan hati, ia dapar diubah makna kejadian tersebut dan seterusnya memberi kesan kepada tingkah laku dan cara bertindak yang positif.

Dalam erti kata lain, konsep reframing ini juga salah satu jalan alternatif untuk mengelak seseorang itu hanya menfokuskan kepada perkara-perkara yang negatif sahaja di dalam kehidupannya. Jadi, bagaimana saya praktikkan teknik reframing terhadap situasi anak autistik saya?


Contoh 1 : Saya membayangkan setiap kali beliau menangis atau menjerit di waktu malam, saya reframing dengan betapa terujanya saya apabila beliau mula dapat bercakap dengan sebutan yang betul, saya tambahkan sub-modaliti dengan memperincikan nada suaranya, sebutannya dan membayangkan suasana di dalam rumah pada ketika itu.

Situasi sebenar : Menjerit di waktu malam.

Reframing : Jeritan itu menandakan anak saya normal dan mampu bersuara. Jika tidak jerit, ia lebih merisaukan kerana berkemungkinan besar tidak mempunyai suara.


Contoh 2 : Setiap kali beliau mengamuk pula, saya reframing dengan membayangkan betapa bersyukurnya serta gembiranya saya memilikinya dan terus membayangkan dan mendengar saat tangisan pertama sewaktu kelahiran dan juga saat kali pertama mendukungnya dan betapa terujanya saya mendapat cahaya mata yang pertama.

Situasi sebenar : Anak mengamuk dan bising.

Reframing : Bersyukur kerana dikurniakan anak kerana ramai lagi insan di luar sana menginginkan zuriat


Sebelum saya mempraktikkan aplikasi NLP ini, apa yang paling mendukacitakan adalah emosi saya yang tidak stabil setiap kali terjadi peristiwa-peristiwa negatif tersebut. Setiap kali emosi saya terganggu disebabkan perkara-perkara negatif itu, maka setiap kali itulah ia akak mempengaruhi tindakan saya. Sama ada tindakan tersebut dalam bentuk lisan, tingkah laku ataupun respon melalui perbuatan. Setiap kali saya memberi respon negatif, maka setiap kalilah saya menyesal kerana saya tahu apa yang difikirkan, apa yang dikatakan dan tindakan merupakan doa.

Sudah pasti sebelum ini akibat daripada emosi yang negatif maka ianya juga menghasilkan tindakan yang negatif. Tidak dinafikan, sebelum mempraktikkan aplikasi NLP ini memang sentiasa ada harapan agar semuanya kejadian atau perkara akan menjadi lebih baik lagi dari semasa ke semasa. Namun apa yang pasti, harapan sebelum ini tidak disertakan dengan tindakan yang berasaskan dengan ilmu yang terbaik. Selain itu kurangnya kesedaran untuk terus konsisten mempraktikkan tindakan yang positif. Apa yang pasti saya sendiri merasai perubahan yang positif dan betapa bersyukurnya saya dengan perubahan yang bukan sahaja berlaku pada diri saya tetapi juga kepada anak saya tersebut.

Walaupun pada awalnya, kekuatan perubahan tidak begitu ketara tetapi lama-kelamaan saya dapati saya mulai memperolehi apa yang dihajati sedikit demi sedikit. Betapa aplikasi NLP atau lebih detail lagi konsep reframing ini banyak membantu saya. Apa yang hendak saya kongsikan di sini adalah, memang tetap terjadi perkara-perkara yang negatif hasil daripada tindakan anak saya tersebut tetapi apa yang memberi keterujaan dan nikmat syukur adalah tingkah laku, tindakan atau respon dari saya tidak sama seperti dahulu lagi. Untuk pengetahuan, setiap kali dia menjerit, menangis dan melakukan tindakan yang negatif, ikhlas saya katakan saya hanya rileks dan mampu tersenyum dengan membayangkan reframing yang telah saya buat.

 

Hazrin Hisham Hassan
Certified NLP Practitioner
NLPMC Malaysia | NFNLP Florida USA.

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *