Dulu Kawan, Kini Lawan! : Teknik Distortion, Generalisation Dan Deletion Jadikan Lelaki Ini Benci Pada Rokok

Dulu Kawan, Kini Lawan! : Teknik Distortion, Generalisation Dan Deletion Jadikan Lelaki Ini Benci Pada Rokok

Lelaki yang menghisap rokok majoritinya ‘memikirkan’ bahawa mereka akan nampak “MACHO” bila merokok. Lantaran itu, saya merokok sebaik sahaja memulakan matrikulasi di sebuah institusi pengajian tinggi di subang jaya pada 1988. 16 orang dalam satu tingkat rumah kedai dengan 90% adalah perokok. Ahhhh, nikmatnya merokok apabila asap berkepul kepul keluar dari hidung dan mulut. Ada juga pertandingan asap paling menarik dikalangan rakan-rakan. Sejak itu, rokok adalah teman setia. Biar tidak cukup duit untuk makan tetapi peruntukan rokok sentiasa dijaga rapi.

Sejak itu hidup saya mula ‘dikawal’ oleh rokok. Saya pasti menghisap rokok bila berdepan dengan suasana atau situasi yang hampir sama. Kesemuanya telah menjadi paten kehidupan ataudan tingkah laku saya.

Sebagai contoh, saya pasti akan menghisap rokok sebelum memakai kasut ke pejabat. Saya akan memasang rokok sebaik sahaja sampai di lampu isyarat berhadapan pejabat. Saya juga akan mengeluarkan rokok sebaik mendapat sesuatu tugasan atau kertas kerja untuk disemak. Tidak cukup dengan suasana sebegitu, saya juga akan menghisap rokok bila berada dalam situasi membuat keputusan dan juga apabila melihat orang disekeliling merokok. Segalanya akan menjadi dorongan yang kuat untuk aktif merokok disebalik usaha keras kerajaan berkempen terhadap keburukan merokok.

Lebih mendukacitakan, segala fatwa adalah “bias” bagi saya dan tidak dihiraukan walaupun ustaz yang berceramah memberi kutukan dan teguran yang tepat kepada diri saya. Ibarat kata P.Ramlee dalam cerita Bujang Lapuk, “Saya sudah tidak kenal antara botol cuka dan kicap”

Rokok adalah teman setia. Perkataan tersebut seolah olah menjadi ‘anutan’ bagi setiap perokok. Bertahun-tahun sememangnya saya selesa dengan merokok sehinggalah saya rasa bosan dengan paten kehidupan yang sama. Saya terdetik bahawa sampai bila saya mahu bergantung pada rokok? Dari jenama Doral sehinggalah Dunhill semuanya telah dicuba, lantas apa lagi yang saya mahukan? Apa yang menyedihkan, saya lebih sanggup batuk dan demam hampir setiap 3 bulan akibat merokok dari mengambil keputusan untuk berhenti.

Berberapa kali saya cuba berhenti merokok tetapi gagal…

Selalunya percubaan dimulakan sempena bulan Ramadhan sehingga Syawal. Dan Syawal kedua sudah menjadi ‘raya rokok’. Pernah berjaya selama seminggu tetapi akhirnya merokok kembali bila berjumpa dengan kawan-kawan. Menjadi adat selalunya kawan-kawan akan memerli mereka yang mengaku akan berhenti merokok. Disaat itu juga lah mereka mengeluarkan pelbagai jenis rokok untuk saya pilih dan terus merokok.

Secara keseluruhan, saya sudah mencuba sebanyak 5 kali untuk berhenti rokok. Kali pertama sebelum berkahwin, diikuti selepas mendapat anak dan pelbagai waktu lain sehingga anak dan isteri tidak lagi bersuara pasal rokok. Saya yakin mereka kecewa dengan usaha yang tidak diendahkan. Nasihat dari seorang isteri kepada suami, dan juga dari seorang anak kepada seorang ayah.Tetapi alhamdulilah, ia bukan penamat bagi segala-galanya.

NLP memberi saya suatu kaedah yang baru dalam hidup. Saya menyertai seminar NLP anjuran NLP Malaysia Centre dan dikendalikan oleh Tuan Hj.Fadzli Yusof sekitar bulan Ogos 2015. Ilmu yang dikongsikan menjadikan saya yakin dan berhasrat untuk mencuba dalam usaha menyelesaikan masalah ketagihan merokok. Pada mulanya saya rasa semacam sayang untuk berhenti bila sudah jumpa solusi. Saya teruskan aktiviti merokok disamping sekali sekala mempraktikan kaedah kaedah NLP. Saya mencuba pelbagai teknik untuk mendapat keserasian. NLP sebenarnya tidak semudah kita menghadiri seminar. Saya ibaratkan seperti anda belajar berenang. Walaupun dapat sijil tetapi tidak selalu berenang maka akan tenggelam juga. Begitu juga dengan mengaji Al Quran, walau tahu dan kenal huruf tetapi jika tidak dilatih bacaannya selalu akan merangkak juga.

Antara teknik yang saya gunakan adalah kaedah distortion, generalisation dan deletion.

Bukanlah perkara yang senang sebab rokok dan saya telah sebati sejak 27 tahun. Saya lebih kenal rokok dari isteri yang baru bersama saya kurang dari tempoh itu. Teknik ‘distortion’ saya gunakan untuk dapatkan semangat untuk berhenti. Orang berkata bahawa kalau dah ketagih tak mungkin berjaya berhenti merokok, Orang juga berkata bahawa rokok bukan punca penyakit dan ditambah lagi dengan kata kata bahawa berhenti rokok akan menyebabkan berat badan naik.

Rupa rupanya itu semuanya ‘generalisation’. Saya terbalikkan ayat ayat tersebut dengan mencabar diri terhadap kesahihan ayat-ayat tersebut yang menjadi fatwa merokok selama ini, Tidak cukup dengan fikiran berlawanan tadi saya gabungkan dengan kaedah ‘distortion’ untuk tanam semangat baru. Saya cabar diri dengan soalan-soalan berikut:

Siapa kata saya tidak boleh berhenti rokok?

Siapa kata saya cuma bercuti atau rehat merokok?

Saya tanamkan semangat yang saya mampu dan boleh untuk mencapainya. Saya cari gambaran baru kehidupan saya yang bebas merokok dengan bibir yang merah, badan yang tegap serta menutup hidung sebab bau asap rokok yang busuk. Saya ulang-ulangkan gambaran tersebut dalam minda untuk membentuk suatu fahaman baru dalam diri.

Kaedah ‘deletion’ pula agak mencabar. Saya terpaksa lakukan berulang ulang kali pelbagai suasana yang menyebabkan saya mula merokok. Saya ulang tayang gambaran(dalam minda) bersiap untuk keluar rumah dan selalunya saya akan memasang rokok selepas memeluk anak dan isteri.

Adegan memasang rokok selepas itu di ‘delete’ dan digantikan dengan bacaan ayat kursi. Begitu juga dengan adegan memasang rokok di hadapan lampu isyarat pejabat saya, terpaksa ‘delete’ dan digantikan dengan sebiji cengkih sebagai ganti. Secara umumnya saya menggantikan rokok dengan cengkih. Saya tak pasti kenapa cengkih? Mungkin sebab pengalaman percubaan lalu dengan menggunakan gula gula atau chewing gum yang manis hanya berjaya sementara. Rasa manis selepas kunyahan menjadikan saya lebih teruja merokok.

Dengan menggunakan kaedah-kaedah NLP tersebut, saya telah berjaya membuat gambaran baru bahawa saya seoarang yang sihat bencikan rokok. Saya juga ‘delete’ gambaran saya merokok pada semua tempat atau situasi yang kebiasaannya saya merokok. Berdasarkan pengalaman saya yang terbaru, ianya sememangnya tidak mudah untuk menceraikan rokok dengan talak tiga, ianya bukan seperti sumpah Biah atau nazar. 27 tahun bertemankan rokok penuh dengan saat suka dan duka, namun Alhamdullilah berkat doa, keazaman dan teknik sebagai pemudah cara ianya berkesan. SAYA SUDAH 14 HARI BEBAS NEKOTIN (Satu bulan selepas menamatkan seminar NLP).

Ramai kawan-kawan kagum dengan semangat saya untuk berhenti rokok. Saya kini tidak takut berjumpa mereka, saya boleh sahaja duduk semeja walaupun mereka merokok. Rokok adalah HARAM bagi saya dan ianya telah difatwakan sejak tahun 1995. Rokok mengandungi 4000 jenis racun yang boleh merbahayakan kesihatan.

Jika diimbas kembali…

27 tahun dahulu saya adalah perokok muda, saya mula belajar merokok untuk mencapai status remaja yang ranggi dan macho. Saya hidup dengan rokok. Rokok adalah sumber idea saya. Saya ingkar pesan ayah dan ibu. Saya langgar peraturan dan hukum.

Tetapi kini…

Saya bebas rokok dan akan terus membenci rokok. Saya berazam untuk menggunakan kaedah yang sama untuk kawan-kawan yang berminat dan akan mengaplikasikan teknik NLP untuk perkara lain. Saat paling indah ialah apabila isteri memeluk saya bila dia tahu saya sedang berusaha berhenti rokok, ada air mata mengalir di pipinya. Saya tak pasti kenapa dia menangis. Tetapi apa yang saya tahu, besar juga dosa si perokok ini rupanya.

Akhir sekali, “It’s your road and yours alone. Others may walk with you, but no one can walk it for you”.

Mohd Farid bin Shamsudin
Certified NLP Practitioner
NLPMC Malaysia | NFNLP Florida, USA

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *